| Antara murabbi yang kukenali |
Saya si kecil.
Bukan saja dari segi saiz fizikalnya, tetapi juga dari sudut ilmunya. Latihan industri
di Technip tahun lalu menyedarkan saya satu perkara penting. Teori tidak
semestinya sama dengan praktikal. Mengikut spesifikasi, suhu itu kelihatan bahaya
untuk paip. Tetapi menurut senior engineer yang berpengalaman, ‘no worries, it’s
fine’.
Seorang anak
yang mengkritk cara ibu bapa mendidiknya akan merasai sendiri cabarannya apabila
menjadi ibu bapa. Pengguna yang memilih gred beras berbeza di kedai sudah tentu
tidak sama dengan petani yang merasai sendiri jerih perih bersawah dengan
kuderatnya.
Saya si kecil.
Bukan saja dari segi fizikal, tetapi juga terlalu kecil dalam medan dakwah.
Masih terlalu jauh rasanya untuk merasa diri sedang dalam medan perjuangan.
Apatah lagi untuk saya lantang berhujah isu besar seperti politik atau siasah. Buku-buku
haraki (gerakan) yang dibaca adalah panduan tetapi saya yakin aplikasinya sedikit
berbeza bersesuaian mengikut situasi yang berbeza.
Berdasarkan
kefahaman saya yang cetek, kita tidak boleh mengambil satu hadith sahih yang
dibaca daripada Sahih Bukhari untuk terus dijadikan hukum dalam masalah Fiqh.
Tetapi kita perlu merujuk dahulu ‘ulama Fiqh seperti Imam Syafie yang telah meringkaskan
dan mengkaji hukum yang berkaitan bukan sahaja melalui sahih Bukhari, tetapi
juga kitab hadith yang lain.
Begitulah juga
dalam isu siasah.
Atas
keterbatasan ilmu yang ada, saya thiqah (percaya) kepada para ‘ulama yang telah
mengkaji baik buruknya sesuatu keputusan yang diteliti bukan sehari dua. Sesetengahnya
diperhalusi dahulu semeja dengan para ‘ulama antarabangsa. Bukan saya
mengatakan para ‘ulama itu maksum dan
terlepas daripada sebarang kesalahan. Jika dengan kapasiti ilmu yang ada, kita
jelas dan yakin tindakan/keputusan yang dilakukan ‘ulama itu salah/kurang tepat,
maka carilah ruang terbaik untuk bersemuka dan bertanya atau menasihati secara berhikmah
sebelum kita menyebarkannya.
Mereka telah lama
berada bersama gerakan Islam yang telah dan sedang melalui pelbagai proses
kematangan. Kalau dahulu gerakan Islam banyak berslogan, sekarang antara masa ‘ujian’
Allah untuk dipraktikkan apa yang dilaungkan. Untuk menghidupkan buku ideal yang
dikaji ke alam realiti, bukan sahaja perlu melalui pelbagai proses perbincangan,
tetapi juga pengalaman yang mematangkan keputusan.
Saya si kecil. Bukan
saja dari segi fizikal, tetapi terlalu amat kecil di hadapanNya.
Hendak
menghadapNya entah berbekalkan apa.
Di saat tiada
Rasulullah s.a.w untuk kita jadikan rujukan.
Di saat tiada
sahabat Baginda s.a.w untuk menjadi bintang penunjuk jalan.
Saya bersyukur
kerana masih ada para ‘ulama untuk menjadi ikutan.
Tetapi sesekali hati
begitu terhiris saat kita lantang membentangkan kesalahan.
Kekadang seakannya
neraka itu lebih kita takuti berbanding mereka.
Sedang mereka
dipilih Allah hingga bermimpi bertemu kekasihNya.
Dan kita masih
merangkak menagih perhatianNya.
Adakah pernah kita
tatap wajah ikhlas dan redup mereka?
Adakah pernah kita
kucup tangan mereka?
Adakah pernah
kita mengalir air mata memohon kesejahteraan buat mereka?
Adakah pernah
kita dengar esak tangis dalam tahajjud dan istikharah mereka?
Adakah benar
kita merasa mereka gila kuasa?
“Ya Allah, aku
si kecil yang tiada apa. Aku bermohon agar Engkau memanjangkan usia para ‘ulama
kami dalam rahmatMu. Ampunkanlah dosa mereka. Kasihanilah mereka. Jadikan
setiap hela nafas dan derap kaki mereka mendapat ganjaran di sisiMu. Bantulah
mereka agar sentiasa ikhlas mencari redhaMu. Berikan mereka gerak hati yang
tepat dan benar dalam memandu kami berjalan. Izinkan kami untuk menumpang teduh
mereka daripada hujan dan panas dalam kehidupan. Sematkanlah rasa kasih kami
kepada mereka. Janganlah sampai tindak tanduk kami menyakiti mereka…”
Allahumma ameen.
Jangan terus
ditebuk bahtera itu.
Tetapi
bersamalah membaikinya agar ia selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Saya si kecil.
No comments:
Post a Comment